HAMKA (1908-1981), ulam, aktivis
politik dan penulis Indonesia. Dia lahir pada 17 Februari 1908 di
kampung Molek, Meninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Nama sebenarnya
ialah Haji Abdul Malik bin Abdul Karim. Ayahnya ialah Syekh Abdul Karim
bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan
Islah (tajdid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906.
HAMKA mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Meninjau hingga
Darjah Dua. Ketika usia HAMKA 10 tahun, ayahnya mendirikan Sumatera
Thawalib di Padang Panjang. Di situ HAMKA mempelajari agama dan bahasa
Arab. HAMKA juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid
yang diberikan ulama terkenal seperti Syekh Ibrahim Musa, Syekh Ahmad
Rasyid, Sutan Mansur, R. M Surjoparonto dan Ki Bagus Hadikusumo.
HAMKA lebih banyak belajar sendiri dan
melakukan penyelidikan meliputi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti
falsafah, kesusasteraan, sejarah, sosiologi dan politik sama ada Islam
atau Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, dia dapat
menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki
Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-‘Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Husein
Haikal. Melalui bahasa Arab juga, dia meneliti karya sarjana Perancis,
Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Freud, Toynbee,
Jean Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti.
HAMKA juga rajin membaca dan
bertukar-tukar fikiran dengan tokoh terkenal Jakarta seperti HOS
Chokroaminoto, Raden Mas Surjoparonoto, Haji Fakrudin, Ar Sutan Mansur
dan Ki Bagus Hadikusumo sambil dia mengasah bakatnya hingga menjadi
seorang pemidato yang handal.
Kerjaya HAMKA bermula sebagai guru agama
pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di
Padang Panjang pada tahun 1929. HAMKA kemudian dilantik sebagai
pensyarah di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas Muhammadiyah,
Padan Panjang dari tahu 1957 hingga tahun 1958. Setelah itu, dia
dilantik sebagai Rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor
Universitas Mustapo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun1960, dia
dilantik sebagai Pegawai Tinggi Agam ole Menteri Agama Indonesia, tetapi
meletakan jawatan apabila Sukarno memberi kata dua sama ada menjadi
pegawai kerajaan atau bergiat dalam politik Majlis Syura Muslim
Indonesia (Masyumi).
HAMKA juga aktif dalam gerakan Islam
melalui pertubuhan Muhammadiyah. Dia menyertai pertubuhan itu mulai
tahun 1925 bagi menentang khurafat, bidaah, tarekat dan kebatinan sesat
di Padang Panjang. Mulai tahun 1928, dia mengetuai cawangan Muhammadiyah
di Padang Panjang. Pada tahun 1929, HAMKA mendirikan pusat latihan
pendakwah Muhammadiyah. Pada tahun 1931, dia menjadi Konsul Muhammadiyah
di Makasar. Kemudian dia terpilih menjadi Ketua Majlis Pimpinan
Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah menggantikan
S. Y. Sutan Mangkuto pada tahun 1946. Dia menyusun kembali pembangunan
dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 di Jogjakarta pada tahun 1950. Pada
tahun 1953, HAMKA dipilih sebagai Penasihat Pimpinan Pusat Muhammadiah.
Pada 26 Julai 1957, Menteri Agama Indonesia iaitu Mukti ali melantik
HAMKA sebagai ketua Umum Majlis Ulama Indonesia tetapi dia meletak
jawatan pada tahun 1981 kerana nasihatnya diketepikan oleh pemerintah
Indonesia.
Kegiatan politik Hamka bermula pada tahun
1925 apabila dia menjadi anggota parti politik Sarekat Islam. Pada
tahun 1945, dia membantu menentang kemaraan kembali penjajah Belanda ke
Indonesia melalui pidato dan menyertai kegiatan gerila di dalam hutan di
Medan. Pada tahun 1947, HAMKA dilantik sebagai Ketua Front Pertahanan
Nasional, Indonesia. Dia menjadi anggota Konstituante Masyumi dan
menjadi pemidato utama dalam Pilihan Raya Umum 1955. Masyumi kemudiannya
diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1960. Dari tahun 1964
hingga tahun1966, HAMKA dipenjarakan oleh Presiden Sukarno kerana
dituduh pro-Malaysia. Setelah keluar dari penjara, HAMKA dilantik
sebagai ahli Badan Musyawarah Kebajikan Nasional, Indonesia, anggota
Majlis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan
Nasional, Indonesia.
Di samping aktif di Indonesia, HAMKA juga
aktif pada peringkat antarabangsa. Pada tahun 1950, dia mengunjungi
Arab Saudi, Mesir, Syria, Iraq dan Lebanon untuk membincangkan hal-hal
yang berhubung dengan agama Islam. Pada tahun 1952, dia melawat Amerika
Syarikat selama empat bulan atas tajaan State Department. Pada
tahun1954, HAMKA mengunjungi Burma sebagai wakil Departemen Indonesia
sempena perayaan 2000 tahun Buddha. Pada taun 1958, dia menyertai
seminar Islam di Lahore dan pada tahun 1967 HAMKA menjadi tetamu
kerajaan Malaysia.
Selain aktif dalam soal keagamaan dan
politik, HAMKA merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit.
Sejak tahun 1920-an lagi, HAMKA menjadi wartawan beberapa buah akhbar
seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan
Muhammadiyah. Pada tahun 1928, dia menjadi editor majalah Kemajuan
Masyarakat. Pada tahun 1932, dia menjadi editor dan menerbitkan majalah
al-Mahdi di Makasar. HAMKA juga pernah menjadi editor majalah Pedoman
Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.
HAMKA juga menghasilkan karya ilmiah
Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah
terbesarnya ialah Tafsir al-Azhar (5 jilid) dan antara novelnya
termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah
dan Merantau ke Deli.
HAMKA pernah menerima beberapa anugerah
pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti Doktor Honoris Causa,
Universiti al-Azhar, 1958; Doktor honoris Causa, Universiti Kebangsaan
Malaysia, 1974 dan gelaran Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno daripada
kerajaan Indonesia. HAMKA meninggal dunia pada 24 Julai 1981.
Sumber : http://members.tripod.com/~sasteramaya/Hamka.htm